Monday 4 February 2013

PERLUKAH AMBIL MAKANAN TAMBAHAN??

VITAMIN A, C, E, zat besi, multivitamin dan seumpamanya sentiasa diuar-uarkan kepentingan pengambilannya dalam diet seharian berikutan kepelbagaian nutrien serta memberi kebaikan pada tubuh.
Ditambah dengan gaya hidup yang makin sibuk dan pantas, ramai antara kita terutama wanita mula mementingkan pengambilan vitamin ini atau lebih dikenali sebagai makanan tambahan (supplemen), lalu menjadikannya sebagai satu perkara yang wajib diambil setiap hari.

Secara luarannya, mungkin pengambilan pil makanan tambahan ini dapat membantu menambah nutrien serta mengurangkan simptom membabitkan masalah kesihatan, namun yang menimbulkan persoalan kini adakah ia sebenarnya selamat diambil setiap hari memandangkan hidangan biasa yang dimakan setiap hari sudah cukup dengan pelbagai nutrien?

Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Sunway, Dr Wong Pak Seng, menjelaskan ia tidak membahayakan dan memberi kesan buruk kepada tubuh selagi diambil mengi­kut jumlah dan keperluan yang betul.

“Ada dua jenis makanan tambahan yang ada di pasaran iaitu yang disarankan doktor dan ubatan tradisional. Apa yang dicadangkan doktor biasanya hanya dalam jumlah kecil dan bertindak bagi meng­gantikan nutrien yang tidak mencukupi.

“Contohnya apabila seorang wanita yang hanya mengamalkan makan sayur dan sumber lain daripada sayur-sayuran itu (vegetarian), mereka lebih terdedah kepada masalah kurang zat besi dalam tubuh dan keadaan akan lebih buruk apabila mereka mengalami aliran haid yang banyak.

“Jadi, kami biasanya meminta wanita ini mengambil multivitamin yang tinggi kandungan besi dan ia hanya perlu diambil apabila tubuh memberi beberapa tanda seperti lesu dan mula murung.

“Bagi wanita yang mula menampakkan tanda menopaus pula kami sarankan mengambil makanan tambahan berasaskan estrogen tumbuh-tumbuhan untuk mengurangkan simptom, perubahan diri dan perasaan serta rasa tidak selesa yang mereka alami.

“Untuk makanan tambahan tradisional pula seperti herba, akar kayu dan jamu, pengambilannya perlu lebih berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan sistem tubuh seakan ‘melawan’ dengan kandungan yang ada di dalam makanan tambahan itu.

“Apabila seseorang wanita mengambil herba setiap hari, jamu misalnya, ia sebenar­nya berupaya memburukkan lagi kesihatan dalaman mereka. Contohnya fibroid, jika wanita kerap mengambil jamu atau makanan tambahan herba yang lain, ia membuatkan fibroid makin membesar dan mengganggu sistem kitaran haid mereka,” katanya.

Tambah Dr Wong, pengambilan makanan tambahan yang banyak di pasaran juga boleh memudaratkan diri jika diambil secara keterlaluan dan membuta tuli.

“Bagi saya, pengambilan makanan tambahan yang banyak dipromosikan di kalangan masyarakat kita ketika ini lebih berteraskan industri dan hanya gimik pemasaran pelbagai aras (MLM).

“Saya juga merasakan ia semata-mata untuk meraih keuntungan atas kebimba­ngan masyarakat yang mula mengambil berat mengenai tahap kesihatan mereka.

“Tidak dinafikan vitamin A, B, D, E dan K semua mampu memberi nutrien tambahan kepada tubuh. Tetapi jika tubuh kita sudah cukup de­ngan segala vitamin itu, tidak perlu kita menambah­nya lagi kerana ia boleh memudaratkan dan memberi kesan sampingan kepada sistem tubuh.

“Vitamin A, D, E dan K sepatutnya dikawal kerana ia larut lemak, di mana ia akan terus berkumpul dalam tubuh. Jadi apabila ia dihimpun dan dikumpul dan jumlah yang sama, jelas sekali ia boleh memberi masalah kepada kesihatan seperti mengganggu saraf, buah pinggang, sakit kepala, tekanan darah yang tinggi, sembelit atau cirit-birit.

“Jika seseorang wanita itu mengandung, anak dalam kandungan berisiko cacat andai mereka mengambil vitamin ini secara berlebihan.

“Ia bagaimanapun sama sekali berbeza dengan vitamin C kerana lebihannya boleh disalurkan menerusi sistem perkumuhan seperti air kencing dan perpeluhan,” katanya.

Justeru, Dr Wong menggesa wanita agar memberi perhatian dalam penjagaan kesihatan secara normal seperti mengamalkan pemakanan seimbang, bersenam dan menjalani rawatan berkala di klinik atau hospital.

“Secara amnya, setiap wanita mesti sedar dan faham dengan keperluan tubuh mereka. Diet yang seimbang disusuli senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu serta menjauhkan perkara yang memudarat­kan seperti merokok dan minuman keras sudah cukup untuk kesihatan yang baik, jadi tidak perlu mereka bergantung dengan makanan tambahan yang kadangkala tidak diperlukan tubuh.

“Doktor juga menggalakkan wanita menjalani ujian serta pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun. Tidak perlu melakukan ujian A hingga Z, cukup dengan ujian asas seperti darah, air kencing, tekanan darah, payu dara dan Pap smear untuk mengesan simptom kanser pangkal rahim.


“Untuk kanak-kanak dan wanita muda antara usia sembilan hingga 26 tahun,­ kurangkan kekerapan mengambil herba untuk mengatasi masalah kitaran haid yang tidak sekata. Seelok-eloknya mereka jaga pemakanan, kekalkan berat badan ideal dan banyakkan bersenam.

“Jika benar-benar sakit, dapatkan saranan doktor terlebih dulu sebelum me­ngambil apa jua makanan tambahan,” tegasnya.

Sumber :
http://www.hmetro.com.my/articles/Perlukahkitaambilmakanantambahan_/Article

No comments:

Post a Comment